PENAFSIRAN PROFIL
INVENTORI PERSONALITI SIDEK (IPS)
1. AGRESIF
a) Skor tinggi (70-99%) menunjukkan anda seorang
individu yang agresif. Anda suka mengkritik orang lain.
Dalam kebanyakan hal, hati dan perasaan orang lain
bukanlah merupakan tumpuan anda, yang penting ialah
hajat dan matlamat anda tercapai.
b) Skor sederhana (40-70%) menunjukkan anda adalah seorang yang asertif atau mempunyai ketegasan diri. Dalam kebanyakan hal, anda selalunya menuntut hak
anda tetapi pada masa yang sama hati dan perasaan
orang lain anda jaga.
c) Skor rendah (1-40%) menunjukkan anda adalah seorang yang pasif. Dalam kebanyakan hal, anda membenarkan orang lain memanipulasi diri dan perasaan anda.
2. ANALITIKAL
a) Skor tinggi (70-90%) menunjukkan anda adalah seorang
yang sensitif kepada persekitaran, suka menganalisis
orang lain, diri sendiri mahupun situasi. Anda suka
membuat pemerhatian, penyelidikan dan analisis.
b) Skor sederhana (40-70%) menunjukkan ciri analitikal
anda adalah pada tahap sederhana.
c) Skor rendah (1-40%) menunjukkan anda adalah seorang
yang kurang atau tidak berminat dengan perkara-perkara
yang memerlukan anda membuat analisis. Anda adalah
individu yang praktikal.
3. AUTONOMI
a) Skor tinggi (70-99%) menunjukkan anda suka akan
kebebasan sepenuhnya dalam segala tindakan serta
dapat mengawal dan menentukan aktiviti seharian.
b) Skor sederhana (40-70%) menunjukkan ciri-ciri autonomi
anda pada tahap sederhana.
c) Skor rendah (1-40%) pula menunjukkan anda lebih suka
menerima arahan orang lain dan struktur sosial yang
memerlukan keakuran.
4. BERSANDAR
a) Skor tinggi (70-99%) menunjukkan anda suka bergantung
kepada orang lain. Dalam membuat sesuatu keputusan,
anda selalunya mengharapkan pendapat dan nasihat
daripada orang lain terutama individu yang mempunyai
autoriti. Anda selalu meminta orang lain menunjukkan
arah yang harus anda tuju.
b) Skor sederhana (40-70%) menggambarkan tahap
pergantungan anda pada tahap sederhana.
c) Skor rendah (1-40%) menunjukkan yang anda adalah
individu yang suka berdikari. Dalam membuat sesuatu
keputusan dan melakukan sesuatu aktiviti, anda selalu-
nya tidak bergantung kepada orang lain.
5. EKSTROVERT
a) Skor tinggi (70-99%) menunjukkan anda adalah individu
yang sosial. Anda suka berinteraksi dan dikelilingi oleh
orang ramai di samping berasa tidak selesa jika duduk
bersendirian.
b) Skor sederhana (40-70%) menunjukkan anda mempunyai
kedua-dua ciri sosial dan tidak sosial. Umumnya tahap
sosial anda adalah sederhana.
c) Skor rendah (1-40%) menunjukkan anda adalah individu
yang kurang atau tidak sosial. Anda selalu mengelak
untuk berinteraksi dalam kumpulan besar dan lebih
selesa berada dalam kumpulan kecil. Anda lebih selesa
kepada suasana kerja bersendirian atau ‘satu-sama-satu’ .
6. INTELEKTUAL
a) Skor tinggi (70-99%) menunjukkan anda suka akan
aktiviti yang memberi cabaran dari segi intelektual. Anda
berasa puas dengan aktiviti-aktiviti keilmuan tetapi tidak
puas dengan aktiviti yang berulang-ulang.
b) Skor sederhana (40-70%) menunjukkan ciri-ciri intelektual
anda berada pada tahap sederhana.
c) Skor rendah (1-40%) menunjukkan anda tidak berasa
selesa dengan perkara-perkara yang bersifat teoritikal.
Anda lebih berminat dan selesa dengan kerja-kerja yang
berstruktur, praktikal dan pragmatik. Kerja yang dipilih
selalunya adalah kerja-kerja berkemahiran.
7. INTROVERT
a) Skor tinggi (70-99%) menunjukkan anda adalah individu
yang tidak sosial dan suka mengelak situasi yang
memaksa anda berkomunikasi. Anda lebih selesa dengan
setting kerja bersendirian atau ‘satu-sama-satu’ .
b) Skor sederhana (40-70%) menunjukkan ciri-ciri sosial
anda adalah sederhana .
c) Skor rendah (1-40%) menunjukkan anda adalah individu
yang suka melibatkan diri dalam perhubungan
interpersonal dan suka berada di kalangan orang ramai.
Anda adalah seorang yang sosial.
8. KEPELBAGAIAN
a) Skor tinggi (70-99%) menunjukkan anda dapat menghayati
situasi yang dapat memberi peluang untuk pengalaman-
pengalaman baru. Anda suka kepada perubahan dan
selalunya suka mencuba sesuatu yang baru. Anda adalah
seorang yang ‘adventures’.
b) Skor sederhana (40-70%) menunjukkan ciri-ciri
kepelbagaian anda adalah pada tahap sederhana.
c) Skor rendah (1-40%) menunjukkan anda lebih suka akan
situasi pekerjaan yang stabil dan selamat. Anda tidak
selesa dengan situasi dan pengalaman baru.
9. KETAHANAN
a) Skor tinggi (70-99%) menunjukkan anda adalah individu
yang mempunyai ketahanan dari segi fizikal, mental dan
emosi. Biasanya anda akan menghabiskan semua tugas
yang telah dimulakan dan tidak akan berhenti separuh
jalan. Anda sangat bermotivasi dalam melakukan sesuatu.
b) Skor sederhana (40-70%) menunjukkan ciri-ciri
kepelbagaian anda adalah pada tahap sederhana.
c) Skor rendah (1-40%) menunjukkan anda kurang atau tiada
ketahanan dari segi fizikal, mental dan emosi. Anda mudah
mengetepikan sesuatu jika dirasakan tidak bernilai. Mudah
bosan tetapi lebih mendapat kepuasan terhadap kerja-kerja
kreatif atau yang berkaitan dengan orang ramai.
10. KRITIK DIRI
a) Skor 60%-99% menunjukkan individu yang bermasalah.
Skor yang tinggi ini, selalunya dikaitkan dengan individu
yang selalu berasa rendah diri, sering bimbang, rasa
bersalah terhadap apa yang telah dilakukan atau tidak
percaya terhadap sesuatu kejayaan yang telah dicapai.
Individu yang mendapat skor 60%-70% dikatakan
mendapat faedah daripada kaunseling individu sementara
individu yang mendapat skor melebihi 70% dikatakan
sangat memerlukan kaunseling individu.
b) Skor sederhana (40%-50%) biasanya dikaitkan dengan
individu yang stabil dari segi emosi dan psikologinya.
c) Skor rendah (1%-30%) biasanya menganggap diri mereka
sentiasa betul dan yang bersalah adalah orang lain dan
juga sukar menerima teguran daripada orang lain.
11. MENGAWAL
a) Skor tinggi (70-99%) menunjukkan anda adalah individu
yang suka mengawal dan memimpin orang lain. Anda
lebih suka memimpin daripada dipimpin. Selalunya
memilih kerjaya yang berkaitan dengan kepemimpinan
seperti pengurus, pentadbir awam, pegawai tentera, ahli
politik, dll.
b) Skor sederhana (40-70%) menunjukkan ciri-ciri mengawal
dan kepemimpinan anda pada tahap sederhana.
c) Skor rendah (1-40%) menunjukkan anda lebih selesa
dipimpin daripada memimpin.
12. MENOLONG
a) Skor tinggi (70-99%) menunjukkan anda adalah individu
yang berkeinginan untuk mencurahkan simpati, kasih
sayang, memberi bantuan dan membuat kebaikan dan
kebajikan kepada orang lain.
b) Skor sederhana (40-70%) menunjukkan ciri-ciri menolong
anda berada pada tahap sederhana.
c) Skor rendah (1-40%) menunjukkan anda tidak suka terlibat
secara emosi dengan orang lain. Individu yang lebih
memfokus kepada diri atau kepentingan diri sendiri.
13. SOKONGAN
a) Skor tinggi (70-99%) menunjukkan anda adalah individu
yang mempunyai keinginan untuk dikasihi, difahami dan
mendapat simpati. Kombinasi dengan skor rendah bagi
trait personaliti menolong menunjukkan anda adalah
individu yang sangat mementingkan diri.
b) Skor sederhana (40-70%) menunjukkan ciri-ciri sokongan
anda berada pada tahap sederhana.
c) Skor rendah (1-40%) menunjukkan anda tidak suka
bergantung secara emosi terhadap orang lain.
14. STRUKTUR
a) Skor tinggi (70-99%) menunjukkan anda adalah individu
yang suka kepada perkara-perkara berstruktur, rutin dan
terperinci. Lebih gemar kepada kerjaya yang memerlukan
kekemasan, peraturan, ketelitian, dan berulang-ulang.
b) Skor sederhana (40-70%) menunjukkan ciri-ciri personaliti
struktur anda berada pada tahap sederhana.
c) Skor rendah (1-40%) menunjukkan anda lebih gemar
kepada aktiviti-aktiviti yang tidak berstruktur, tidak
berulang-ulang dan biasanya sukar mengikut peraturan.
15. PENCAPAIAN
a) Skor tinggi (70-99%) menunjukkan anda adalah individu
yang sangat bermotivasi dan suka bersaing dalam
mencapai sesuatu matlamat.
b) Skor sederhana (40-70%) menunjukkan motivasi anda
berada pada tahap sederhana
c) Skor rendah (1-40%) menunjukkan individu yang rendah
motivasinya dan tidak begitu kisah tentang peranan
status dan kuasa dalam kerjayanya
16. PENIPUAN
Skala ini adalah skala yang khusus untuk mengesan
kejujuran responden dalam menjawab item ujian.
Skor melebihi 50% menunjukkan responden cenderung
untuk tidak jujur dalam memberikan jawapan. Oleh itu
profil yang diperolehi tidak boleh dipercayai.
No comments:
Post a Comment