Kalendar Islam

RESEPI KEJAYAANKU

Assalamualaikum,
Kejayaan seseorang adalah bergantung kepada kekuatan individu tersebut dalam menentukan ; masa depannya, halatuju kehidupan & wawasan hidupnya, gaya hidupnya yang membolehkannya berdiri teguh dan sentiasa bermotivasi dan saling memahami pasangan dan anak-anaknya dalam menyesuaikan kerjaya dan kehidupannya secara berkeluarga. formulanya : teguhkan keazaman untuk mencapai cita-cita , terus melonjak kehadapan dan berani membuat keputusan dan mengambil risiko serta sentiasa muhasabah realself agar sentiasa sustainable.

Search This Blog

FASTAQIM KAMA UMIRTA Pengalaman Belajar di Malaysia dan Luar Negara ( Mesir ) 70 - 90 an


SETELAH UMUARKU MELAWATI EMPAT PULUH LIMA TAHUN, gembira melihat kejayaan anak-anak Ahmad Fadhlullah (Perubatan Univ Iskandariah Mesir) Ammar ( Perakaunan & Perbankan Islam USIM) Umar Faruq (Ilmu Wahyu & Pentadbiran UIAM) Amir ( Ting 4 SMKA Tun Sakaran ) Hasan ( Ting 1 SM Sains Lahad Datu Sabah ) Yasir ( darjah 5 SK Lahad Datu 4 ) mengejar cita -cita mereka. Kini umurku masuk 52 tahun 2017, alhamdulillah anak-anakku telah berada di universiti. Ahmad berada di tahun akhir perubatan, angah di tahun 3 USIM, Umar Tahun 1 dalam Pendidikan Islam dan bahasa Arab UIA, Amir sedang tunggu SPM , Hasan Tingkatan 3 di SMKA Falahiah Kelantan, Yasir Tingkatan 1 di Maahad Tahfiz Tok Guru Kota Bharu. Anak -anak daripada isteri kedua alhamdullah dah lepas U Kak Long, Muaz dah bekerja. Najiha sambung MA di UKM, Iman dan Najwa di UIA , Huda di UKM sementara Zaid sedang tunggu SPM dan Husaini di Maahad Tahfiz Sains. Tahniah.

Sunday, October 23, 2011

PERSOALAN IDDAH WANITA

SIRI TANYALAH PAKAR RUJUK SYARIAH :
Al Ustaz Mohd Ismail Mohamood al Azhari
 ( B.A (Hons)Syariah al Azhar, M.Sc UPM, Dip.Pend, UIA, NPQH IAB)

Siri 20 : PERSOALAN MENGENAI IDDAH
Senario : Persoalan mengenai idah jarang diperkatakan dengan anggapan ramai tahu mengenainya, tetapi yang nyata masih ada kurang faham sehingga keadaan menjadi keliru.

Definisi : Menurut kitab fiqah, “Idah ialah waktu menunggu diwajibkan ke atas wanita yang diceraikan, sama ada cerai hidup atau cerai mati, bagi mengetahui sama ada empunya diri hamil atau tidak.”
Istilah Fuqaha' terpilih “ tempoh yang ditetapkan( muqaddarah) dengan hukum syara’ yang melazimkan seoranag perempuan itu menjaga hukum ahkamnya ketika berlakunya perceraian dengan suaminya” [1]
Larangan semasa iddah : hukumnya haram
a. ditegah dari mengadakan proses pertunangan dan perkahwinan
( surah al baqarah ayat 230)

b. hendaklah berada di rumah iddah iaitu haram keluar kecuali ada darurah yang jelas dan perkara sangat berhajat – hajiyat[2] ( surah al talaq ayat 1)

c.hendaklah ber’ihdad’iaitu meninggalkan berhias dan berwangi-wangian (pada badan wanita beriddah) seperti bercelak ( ihtikal) ( hukum wajib disabitkan hadis dan ijma’ ulama’)[3]
Daripada Ummu Habibah isteri Rasulullah s.a.w telah berkata: aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda ” tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat ber’ihdad’ ke atas simati melebihi tiga malam kecuali ke atas suaminya selama empat bulan sepuluh hari” diriwayatkan daripada sahih Bukhari dan Muslim
Jenis-jenis  Iddah  ialah :
a.       Iddah dengan 3 kali suci iaitu 3 kali haid /Tiada iddah
b.      Iddah dengan bilangan bulan; 4 bulan 10 hari/3 bulan
c.       Iddah dengan melahir anak yang dikandung
Keadaan hukumnya  seperti berikut :
1.      Bagi wanita hamil, idahnya sehingga lahir anak dikandungnya itu, baik cerai mati atau cerai hidup.

"Dan perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya." (Surah at-Talaq: 4)
2.      Wanita tidak hamil, ada ketikanya bercerai mati dan bercerai hidup

2.1 Bagi yang bercerai mati, idahnya empat bulan sepuluh hari.(
4 bulan 10      hari)

 "Dan orang yang meninggal dunia antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari." (Surah al-Baqarah: 234)

Jika diperhatikan, ayat 4 surah at-Talaq umum membabitkan cerai hidup dan cerai mati apabila hamil idahnya sehingga lahir anak dan ayat 234 surah al-Baqarah juga umum membabitkan wanita hamil dan tidak apabila bercerai mati idahnya empat bulan sepuluh hari.

Perhatian : Di sini wujud sedikit perselisihan faham mengenai wanita bercerai mati sedangkan dirinya hamil, manakala anaknya lahir sebelum cukup empat bulan sepuluh hari dari tarikh suaminya meninggal.

Apakah idahnya tamat dengan melahirkan anak walaupun belum cukup tempoh empat bulan sepuluh hari dari tarikh suaminya meninggal kerana berdasarkan umumnya ayat pertama di atas?

Haruskah idahnya dicukupkan juga empat bulan sepuluh hari kerana berdasarkan ayat yang kedua?

Menurut jumhur ulama salaf (terdahulu), idahnya ialah lahir anaknya walaupun belum cukup empat bulan sepuluh hari.

Tetapi menurut pendapat lain yang diriwayatkan daripada Ali, idahnya mesti mengambil yang lebih panjang. Walaupun anaknya lahir lebih awal, idahnya harus menunggu sehingga empat bulan sepuluh hari.

Menurut pendapat itu, jika sampai tempoh empat bulan sepuluh hari, tetapi anak yang dikandungnya belum lahir, idahnya harus menunggu sehingga bersalin.

Selain itu, ada perbezaan pendapat mengenai idah wanita hamil.

Imam Syafie berpendapat idah wanita terbabit dengan lahirnya anak dikandung apabila anak itu dari suami yang menceraikannya.

Tetapi jika anak bukan dari suami yang menceraikannya, wanita terbabit tidak beridah dengan kelahiran anak.

Pendapat Abu Hanifah, perempuan itu harus beridah dengan lahir anaknya, baik anak itu anak daripada suami yang menceraikannya atau bukan, walau anak zina sekalipun.

    2.2. Idah bagi wanita bercerai hidup dengan suaminya ialah tiga kali suci sekiranya dia mempunyai haid.

"Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid)." (Surah al-Baqarah: 228)

Mengira tiga kali suci itu tidak dicampuri suaminya, dengan suci sewaktu perceraian dikira satu kali suci.

Tetapi jika dalam suci waktu perceraian itu dicampuri, dikira tiga kali suci mulai suci dari haid pertama selepas perceraian.

Demikian juga perceraian yang berlaku ketika haid, dikira tiga kali suci dari suci selepas haid yang berlaku sewaktu perceraian.

Keadaan terbabit sekali gus menyebabkan idah bagi seseorang wanita lebih panjang.

Oleh kerana itu, adalah dilarang suami menceraikan isteri dalam keadaan haid dan suci yang sudah dicampuri.

Isteri yang diceraikan suaminya sebelum dicampuri tiada idah (tidak perlu beridah).


"Kemudian kamu talak mereka itu sebelum kamu campuri, maka tidaklah mereka beridah." (Surah al-Ahzab: 49)

Tetapi bagi wanita yang tiada haid, idahnya tiga bulan.

"Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh iddah mereka) maka idahnya ialah tiga bulan..." (Surah at-Talaq: 4)

Perempuan yang tiada haid ada tiga golongan; iaitu yang masih kecil (belum sampai umur), sudah sampai umur, tetapi belum pernah haid dan orang tua yang sudah keputusan haid.

Tanggungjawab bekas suami ;
1. Wanita beridah tidaklah boleh dibiarkan begitu saja, malah mereka masih mempunyai hak daripada bekas suaminya, seperti tempat tinggal (rumah), pakaian dan segala perbelanjaan.

Mereka ialah wanita yang taat dalam idah rajiyah (boleh dirujuk), kecuali isteri derhaka, tidak berhak menerima apa-apa.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Dari Fatimah binti Qais, berkata Rasulullah s.a.w kepadanya: 'Perempuan yang berhak mengambil nafkah dan rumah kediaman daripada bekas suaminya itu apabila bekas suaminya itu berhak rujuk kepadanya.'" (Hadis riwayat Ahmad dan Nasai)

2. Wanita dalam idah bain (tidak boleh dirujuk) jika hamil juga berhak mendapatkan kediaman, nafkah dan pakaian.

"Jika mereka (janda yang dicerai) mengandung, maka beri nafkahlah olehmu sampai lahir kandungannya." (Surah at-Talaq: 6)

Sementara wanita yang dicerai secara bain, tetapi tidak hamil, sama ada bain dengan tebus talak mahupun dengan talak tiga, mereka hanya berhak mendapatkan tempat tinggal.

"Tinggalkanlah mereka di tempat kediaman yang sepadan dengan keadaan kamu." (Surah at-Talaq: 6)

Bagaimanapun, sesetengah ulama berpendapat, wanita dicerai secara talak bain yang tidak hamil tidaklah berhak mendapatkan nafkah dan tempat tinggal.

Dari Fatimah binti Qais dari Nabi s.a.w mengenai perempuan yang ditalak tiga, kata Rasulullah, dia tidak berhak tempat tinggal dan tidak pula nafkah. (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Adapun firman Allah dalam surah at-Talaq ayat 6, kata mereka hanya terhadap wanita dalam idah rajiyah.

Bagi wanita yang beridah disebabkan kematian suami, mereka tidak mempunyai hak sama sekali walaupun hamil kerana diri dan anak yang dikandungnya sudah mendapat hak pusaka daripada suaminya yang meninggal.

"Janda hamil yang kematian suaminya tidak berhak mengambil nafkah." (Riwayat Daruqutni)
Rujukan :
    1. Dr.Wahbah Zuhaili 1989, Al Feqh Al Islami Juz 7, Darul Fikri Beirut
    2. Dr. Abdul Karim Zaidan, 1993, Almufassal Fi Ahkam Al Mar’ah Juz 9 , Muassaah Risalah Beirut


[1] Dr. Abdul Karim Zaidan, 1993, Almufassal Fi Ahkam Al Mar’ah Juz 9 , Muassaah Risalah Beirut m.s 121

[2]  Dalam syariat ada tiga iaitu dhoruriat ( perkara yang mesti pergi kerja dan makan minum ), hajiyat ( keperluan seperti hantar anak ke sekolah ) dan tahsiniat ( tambahan keperluan seperti perhiasan , umrah )

[3] Dr. Abdul Karim Zaidan, 1993, Almufassal Fi Ahkam Al Mar’ah Juz 9 , Muassaah Risalah Beirut m.s 221

No comments: