Artikel ini dibuat bagi menjelaskan isu ini secara padat
dan ringkas serta tidak terlalu berat dengan hujjah ilmiah.
Pertamanya elok jika kita melihat kepada firman Allah
dari ayat :-
وَلِلّهِ
عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلاً
Ertinya : ".. mengerjakan Haji adalah kewajiban
manusia kepada Allah swt iaitu (bagi) orang yang berkemampuan dan sanggup
mengadakan perjalanan ke Baitullah;.." ( Al-Imran : 97 )
Para ulama sepakat menyatakan hukum wajib tidak akan
tertanggung ke atas seseorang lelaki dan wanita selagi syarat "istita'ah"
atau ‘kemampuan' belum diperolehi.
Pengertian istita'ah secara mudah lagi ringkas,
adalah SEBAGAIMANA YANG DINYATAKAN OLEH NABI s.a.w ketika ditanya akan ertinya,
baginda Nabi s.a.w menjelaskan :
الزاد
والراحلة
Ertinya : Bekalan dan pengangkutan perjalanan (
Riwayat At-Tirmidzi; berkata At-Tirmidzi & An-Nawawi : Hadis Hasan :
Al-Majmu', 7/41 [1])
Jelas dari hadis yang memperincikan erti istita'ah di
atas, terdapat dua perkara utama iaitu :-
1- Bekalan
Erti bekalan di sini adalah bekalan makanan, minuman
dan pakaian yang mencukupi sepanjang pemergiannya sehinggalah
kepulangannya. ( I'anah At-Tolibin, 2/281 ; Al-Mughni, Ibn Qudamah, 4/316)
2- Kenderaan dan Perjalanan
Kenderaan dan perjalanan mestilah sesuai dan diyakini
keselamatannya, kenderaan pula mestilah diperolehi sama ada dengan membelinya
atau menyewa. ( Al-Mughni, Ibn Qudamah)
DUA ISU UTAMA
a) Berhutang melalui pembiayaan Islam untuk menunaikan
haji
Berhutang untuk menunaikan Haji jika dilihat dari satu
sudut, ia seolah-olah menunjukkan ketidakmampuan seseorang atau
belum mempunyai kelayakan dan bekalan mencukupi untuk menunaikan ibadah Haji.
Dari sudut yang lain pula, ia mungkin juga boleh
menunjukkan status kemampuan, cuma kemampuan itu memerlukan sedikit masa, maka
untuk mempercepatkan status ‘mampu', ia membuat pinjaman.
Jika itu dua kemungkinannya, adakah seseorang dituntut
untuk meminjam semata-mata untuk tujuan Haji.? Apatah lagi pembiayaan dari
Institusi Kewangan yang akan menyebabkan kos yang lebih tinggi dari harga
asal kos haji.
Jawab ringkasnya TIDAK PERLU DAN IA BUKAN PRIORITY.
Itulah jawapan ringkas yang diberikan oleh Nabi s.a.w apabila ditanya oleh
seorang sahabatnya Abdullah Bin Abi Awfa,
سألته عن الرجل لم يحج
أيستقرض للحج ؟ قال : لا
Ertinya : Berkata Abdullah : Aku bertanya kepada Nabi
s.a.w berkenaan seorang lelaki yang belum menunaikan Haji, adakah boleh ia
meminjam wang untuk Haji? , jawab Nabi : TIDAK" ( Musnad As-Syafie ;
1/109 ; Al-Um, 2/116 )
Imam Asy-Syafie berkata berselepas itu :
ومن لم يكن في ماله سعة
يحج بها من غير أن يستقرض فهو لا يجد السبيل
Ertinya : Barangsiapa yang tidak mempunyai kemudahan,
keluasan (lebihan) harta yang membolehkannya menunaikan haji tanpa membuat
pinjaman, ketika itu DIA DIANGGAP TIDAK BERKELAYAKAN ( TIADA BEKALAN) UNTUK
PERGI HAJI" ( Al-Umm, 2/116)
Islam tidak memberatkan kecuali kepada mereka yang
benar-benar sudah sampai kemampuan dan bukan kemampuan yang dipaksa-paksa
sebelum tiba saatnya.
Imam Ibn Qudamah menjelaskan bahawa para ulama hampir sepakat
menyatakan bahawa belanja bekalan itu mestilah :-
أن يكون هذا فاضلا عما
يحتاج إليه لنفقة عياله الذين تلزمه مئونتهم في مضيه ورجوعه لأن النفقة تتعلق بها
حقوق الآدميين , وهم أحوج وحقهم آكد...وأن يكون فاضلا عن قضاء دينه
Ertinya : Dan hendaklah (bekalan ini) adalah harta
yang lebih dari apa yang wajib ke atas tanggungjawabnya dari nafqah keluarga
yang wajib disediakannya semasa pergi dan kembalinya, ini adalah kerana nafqah
berkait dengan hak manusia, dan ia adalah lebih perlu dan diutamakan ( dalam
hal ini dari Haji yang merupakan Hak Allah semata-mata),...selain itu mestilah
bekalan ia dari harta yang lebih dari mencukupi untuk melunaskan hutangnya. (
Al-Mughni, Ibn Qudamah, 4/317)
Namun demikian, jika hutang baru itu TIDAK menjejaskan
keseluruhan tanggungjawab (kewajiban) hartanya kepada yang berhak (seperti anak
dan isteri), kerana ia mempunyai simpanan yang mencukupi atau harta lain
(dalam bentuk hartanah atau lain-lain) yang boleh dijual apabila perlu, tatkala
itu, TINDAKAN BERHUTANG TADI BOLEH MENJADI HARUS. Sebagaimana kata Imam
As-Syafie :
ولكن إن كان ذا عرض كثير فعليه أن يبيع بعض عرضه أو الاستدانة فيه
Ertinya : "Tetapi jika ia mempunyai harta yang
banyak, bolehlah ia menjual sebahagiannya atau berhutang (kerana yakin boleh
membayar balik hutang kerana mempunyai harta bukan dalam bentuk wang tunai
)" ( Al-Umm, 2/116)
b) Hutang belum selesai tetapi ingin menunaikan haji.
Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi menjelaskan bahawa seseorang
yang masih tersangkut dengan bebanan hutang TIDAK WAJIB untuk menunaikan
haji. Sebagaimana yang dijelaskan di atas, ulama sependapat bahawa ‘bekalan'
yang dimaksudkan oleh Nabi adalah lebihan harta berbanding tanggungan asasinya,
justeru hutangnya terhadap individu perseorangan adalah termasuk dalam
tanggungjawab asasinya seperti juga nafqah wajib.
Selain itu, hutang individu perseorangan yang bersifat
jangka pendek MESTILAH diselesaikan sebelum pergi menunaikan Haji.
Sebagai contoh, terdapat beberapa individu yang masih
berhutang dengan saya sebanyak RM3000, sedangkan janji pelunasan hutang sudah
terlewat sekitar setahun dan beberapa bulan. Kesannya, individu ini tidak layak
menunaikan haji kecuali telah melunaskan hutang yang telah dimungkiri tempohnya
terlebih dahulu,
ATAU
sebagai pilihan lain, WAJIBLAH atasnya meminta izin dari
saya (pemberi hutang) menunaikan Haji. Tujuannya adalah agar pemberi hutang,
boleh redha jika sesuatu berlaku kepadanya sewaktu di tanah suci lalu samada
menghalalkan hutang berbaki atau menuntut dari waris keluarganya.Tanpa izin, ia
tidak seharusnya pergi menunaikan Haji.
Justeru, sekiranya pihak kerajaan ingin mengeluarkan
khidmat pembiayaan Islam bagi mereka yang berhasrat menunaikan Haji, seluruh
pertimbangan ini mestilah diberikan dan disemak kepada pemohon sebelum
kelulusan diberi, agar khidmat yang bertujuan baik oleh kerajaan tidak tersilap
sasaran sehingga membawa mudarat kepada individu yang kurang berkemampuan, lalu
menjerumuskan mereka di dalam perkara haram.
Kerajaan Malaysia diketahui ‘cuba' berpegang dengan
mazhab Syafie dalam banyak pendapat Fiqhnya, justeru dalam hal ini Imam Syafie
sendiri telah meriwayatkan hadis berkenaan larangan meminjam untuk menunaikan
haji. Maka jika ulama rasmi kerajaan ingin mengambil pendapat lain, mereka
perlulah berhati-hati serta menilai syarat-syaratnya dan tidak tergesa-gesa.
HUTANG INSTITUSI KEWANGAN
Namun demikian, terdapat perbezaan di antara hutang
individu dengan hutang Institusi Kewangan yang berpanjangan selama
bertahun-tahun malah ada yang mencecah 30 tahun seperti pembiayaan rumah.
Seperti kes pembiayaan tersusun kepada institusi kewangan,
terutamanya bagi mereka yang mengamalkan pembayaran melalui pemotongan gaji.
Seorang jutawan muslim di sebuah masjid di Kuala Lumpur
pernah berkata :-
"Ustaz kalaulah berhutang itu menghalang seseorang
pergi haji, saya pastinya tidak akan pergi haji sampai bila-bila, walaupun saya
ada harta yang banyak"
"Mengapa kata demikian?" Tanya saya
"kerana saya ada syarikat sendiri, dan syarikat
sentiasa ada hutang baru, biasalah ustaz, bisnes sederhana dan besar tanpa
wujud hutang adalah tidak logik. So, adakah kerana hutang syarikat saya
ini menyebabkan saya tidak berkelayakan menunaikan Haji?" balasnya
perlahan dan sangat berminat mendengar jawapan.
"Ooo, hutang jenis tu lain sikit cara
pengendaliannya, tapi masih ada syarat" jawab saya ringkas
Benar, hutang dari jenis ini TIDAK menjejaskan kelayakan
mereka untuk menunaikan haji DENGAN SYARAT, pemergiannya ke Haji tadi TIDAK
AKAN membawa masalah kepada pembayaran hutang sistematik kepada institusi
kewangan tadi.
Jika diyakini pemergiannya ke Mekah, BAKAL menyebabkan
terjejasnya kedudukan kewangannya sehingga diyakini boleh menjejaskan
tanggungjawab wajibnya seperti nafqah, dan hutang wajib kepada institusi
kewangan.
Tatkala itu, TIDAK WAJAR baginya untuk menunaikan Haji
malah pemergiannya boleh membawa kepada haram, ini kerana telah sedia maklum bahawa
apa-apa yang diyakini membawa kepada haram, maka hukumnya juga jatuh HARAM.
Disebutkan oleh para ulama Islam satu
kaedah yang dipetik dari dalil-dalil al-Quran dan hadis :-
ما يؤدي إلى الحرام فهو حرام
Ertinya :
Apa-apa yang membawa kepada haram, hukumnya adalah haram ( Majma Al-Anhar,
4/251 ; Rujuk perincian dalam ‘Ilam Al-Muwaqqi'ien, Ibn Qayyim, 3/137 )
Ia juga boleh difahami dari firman Allah yang
mengharamkan segala bentuk dan jenis permulaan kepada zina. Bermakna, bukan
hanya zina sahaja yang haram, segala bentuk tindakan dan perilaku yang boleh
membawa zina juga adalah haram seperti peluk, cium, renungan mata, chat
bersyahwat, telefon bersyahwat dan lain-lain.
Demikian juga halnya haji dengan keyakinan membawa
mudarat kepada hak pemilik hutang dari kalangan individu dan institusi
kewangan.
KESIMPULAN
Tiada jawapan satu baris bagi kedua persoalan di atas
kecuali perincian dan semakan terhadap kemampuan individu dan kiraan semula
nafqah wajibnya. Hanya selepas itu baru dapat di pastikan sama ada berhutang
untuk menunaikan Haji dibolehkan atau sebaliknya.
Demikian juga halnya bagi mereka yang sedang terikat
dengan hutang, perlu ditinjau jenis hutang dari pelbagai aspek dan hanya
selepas itu boleh ditentukan sama ada individu ini boleh menunaikan Haji. Tanpa
penilaian yang tepat, seseorang itu mungkin sahaja pergi haji dengan dosa
kerana mengabaikan hak individu lain yang lebih berhak ditunai segera.
Sebagaimana berdosanya seorang isteri yang berpuasa
sunat tanpa izin suami.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
No comments:
Post a Comment