KAEDAH BERKESAN KE ARAH PENTAKSIRAN HOLISTIK
DALAM PEMBANGUNAN MURID BERASASKAN
SISTEM PENTAKSIRAN MURID MUSLEH ( SPMM )
Oleh:
Mohd.Ismail Bin Hj.Mohamood [1]
Penolong Kanan 1 SMK Segambut Jaya Kuala Lumpur
_______________________________________________________________________
Abstrak
Dewasa ini guru adalah tenaga terpenting dalam rangka melahirkan generasi dan membentuk mereka menjadi pewaris untuk pembangunan bangsa dan negara. Guru merupakan pembentuk karektar anak bangsa agar mereka sedar bahawa merekalah penggerak perubahan hadari. Oleh demikian guru seharusnya mempunyai kemahiran-kemahiran profesional untuk menjadi “character builder” agar guru mampu mendidik murid dengan amanah dan penuh tanggungjawab. Justru guru perlu mengetahui apakah keperluan yang diperlukan oleh murid dari aspek fizikal, keintlektualan, emosi, kerohanian, psikological, biological dan ‘human being’. Proses menolong dalam pendidikan adalah satu pendekatan ke arah memenuhi tuntutan amanah tersebut dalam membantu murid-murid memperkembangkan potensi yang tersedia ada pada mereka. Akhirnya keseimbangan JERI akan tercapai dan proses kematangan EQ ( emosional qualities) berjaya terbentuk dalam diri seorang murid. Sistem Pentaksiran Murid Musleh adalah di antara instrumen yang dicadangkan sebagai kaedah berkesan ke arah sistem pentaksiran holistik dalam pembangunan murid terutama dalam tempoh umur 7 hingga 12 tahun iaitu diperingkat sekolah rendah. Sistem pentaksiran hari ini adalah untuk melahirkan generasi pewaris yang berwibawa bukan sahaja bijak tetapi mempunyai ciri-ciri kepemimpinan dan jati diri yang utuh serta personaliti dan sahsiah yang unggul. Sesungguhnya untuk mencapai kecemerlangan dalam konteks pendidikan disekolah dan pentaksiran holistik kita perlu wujudkan mekanisme ‘instrinsic motivation’ dan persekitaran yang menggalakan dan soleh.
1.0 PENDAHULUAN
Motivasi merupakan satu penggerak dari dalam hati seseorang untuk melakukan atau inginkan mencapai sesuatu matlamat. Motivasi boleh juga dikatakan sebagai rancangan atau kehendak untuk menuju kejayaan dan mengelakkan dari kegagalan hidup. Dengan kata lain motivasi adalah proses menghasilkan tenaga oleh keperluan diarahkan untuk mencapai sesuatu matlamat. Seseorang yang mempunyai motivasi bermakna ia telah memperolehi kekuatan untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan dalam kehidupan.. Dengan adanya motivasi, maka wujudlah kerjasama, sifat suka tolong-menolong antara satu sama lain.. Guru dan murid memerlukan motivasi untuk mengerakkan dirinya untuk mencapai kualiti kerja atau kejayaan yang lebih cemerlang. Di sini motivasi boleh ditakrifkan sebagai kebolehan atau persetujuan yang dilaburkan untuk mengembangkan potensi dan tenaga demi mencapai matlamat atau juga penghargaan. Oleh yang demikian motivasi adalah merupakan keadaan apabila keperluan manusia itu dipenuhi dengan diberi ganjaran dan sesuatu status yang baik. Ekoran daripada itu, mereka akan bekerja dengan lebih baik kerana tiada lagi kebimbangan, rasa selamat dan kehidupan yang terjamin telah tersedia untuk mereka. Begitu juga dengan kepuasan, jika seseorang itu diberi motivasi, maka secara tidak langsung kehendak mereka telah dipenuhi . Terpenuhnya kehendak dan kemahuan oleh seseorang itu boleh memberikan suatu kepuasan yang tidak terhingga pada diri seseorang. Pada masa yang sama guru juga menjadi “motivator” kepada pelajar-pelajarnya untuk berjaya dalam kehidupan mereka. Seorang guru yang baik mesti mempunyai motivasi yang dinamik, cekap dan sentiasa berusaha untuk memajukan serta meningkatkan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Guru yang bermotivasi juga mempunyai tenaga untuk menjadi penggerak kepada pelajar-pelajarnya.
Pelajar yang bermotivasi ialah pelajar yang mempunyai minat untuk belajar bagi mencapai matlamatnya. Mereka akan mendengar dan memberikan perhatian sepenuhnya kepada pelajarannya. Mereka aktif di dalam dan di luar kelas, mudah bertindak dan sedia menerima teguran dan arahan guru. Mereka boleh berdikari dan suka memberikan pandangan dan pendapat dalam kelas. Pelajar-pelajar seperti ini mempunyai penggerak dalam dirinya untuk mencapai kecemerlangan akademik dan juga dalam hidup keseluruhannya. Oleh itu pengajaran dan pembelajaran yang berkesan di sekolah boleh dicapai melalui guru dan pelajar yang sentiasa bermotivasi. Ahli-ahli psikologi berpendapat bahawa tingkah laku manusia boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor. Adakalanya manusia bertindak berdasarkan perasaan dan nalurinya sendiri dan juga kadang-kala dipengaruhi oleh persekitaran sekeliling. Melalui apa cara pun, manusia bertindak untuk mencapai sesuatu matlamat dan ia akan mencari jalan yang paling mudah untuk mencapai matlamat tersebut.
2.0 Konsep Menolong
Menolong adalah suatu proses yang sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata sebab ia mempunyai makna-makna persendirian bagi tiap-tiap individu. Menolong seseorang manusia lain adalah pada dasarnya suatu proses untuk membolehkan orang itu berkembang mengikut arah-arah yang dipilihnya bermakna memilih matlamat perkembangannya sendiri tetapi juga menentukan samada ia mahukan pertolongan.
Dalam Islam, konsep menolong menjadi satu kewajipan muslim sebagaimana firman Allah “
Ertinya : Bertolong-tolonglah kamu dengan kebaikan dan taqwa dan jangan kamu bertolongan di atas kejahatan .
Rajah 1. Satu Formula Untuk Proses Menolong
Personaliti Penolong + | Kemahiran-kemahiran = Menolong | Keadaan yang menggalakkan perkembangan | Hasil-hasil Khusus |
tret sikap nilai | untuk kefahaman untuk keselesaan untuk tindakan | kepercayaan hormat-menghormati kebebasan | untuk seseorang untuk masyarakat |
Digambarkan dalam rajah 1 ; bahawa personaliti orang yang menolong digabungkan dengan kemahiran-kemahiran khusus akan menghasilkan keadaan – keadaan perkembangan yang akan membawa kepada hasil tertentu yang penting kepada seseorang dan masyarakat. Manakala personaliti dan kemahiran orang yang menolong merupakan unsur-unsur asas di dalam proses menolong.
3.0 Pentaksiran Holistik
Pentaksiran adalah satu proses yang berlaku terus menerus tanpa henti sepanjang hayat manusia, sama ada seperti proses pembelajaran yang melibatkan pengumpulan, penganalisisan dan penyatuan maklumat ( Hoy & Gregg, 1994 ) . Apabila kita menjalankan pentaksiran sebenarnya kita tidak mentaksir orang itu secara langsung. Kita hanyalah menilai konstruk/ trait/ fitrah yang wujud secara mujarrad dalam diri orang itu seperti keupayaaan berbahasa, keupayaan berfikir , kepengetuan dan sebagainya.
Dari segi pengertian, istilah pentaksiran itu sendiri merupakan evolusi istilah pengukuran yang lahir lebih awal daripada istilah pentaksiran. Istilah pengukuran pendidikan dipinjam daripada sains fizikal dalam kerja –kerja pengukuran objek fizikal seperti panjang kayu, berat batu dan isipadu cecair. Oleh itu, peringkat awal, teori yang digunakan dalam pengukuran fakulti pemikiran manusia seperti pengetahuan, kemahiran kebolehan, kecerdasan dan kecekapan sama seperti yang digunakan dalam pengukuran fizikal. Konsep keesahan dan kebolehpercayaan pengukuran misalnya sama seperti yang digunakan di dalam pengukuran fizikal.
Perkembangan masa dan pemikiraan manusia telah memberi perbezaan diantara pengukuran dan pentaksiran iaitu;
Measurement of psychological attributes occurs when a quantitative value is assiggned to the behavioural sample collected by using a test ( Croker & Algina , 1986 )
Assesment could use qualitative or / and quantitive data, and could be formal ( e.g test ) or informal ( e.g.obsetvasion ) ( Hoy & Gregg,1994 )
Anak-anak murid kita sekarang sebenarnya berada dalam dunia yang berlainan dengan apa yang kita duduki dahulu. Saidina Omar Al Khatab pernah berkata “ Didiklah anak kamu satu dunia yang bukan menjadi dunia kamu” Apabila kita mendidik anak kita satu dunia yang bukan menjadi dunia kita bermakna kita juga mentaksir anak kita dengan teori dan kaedah yang tidak terdapat dalam dunia kita. Oleh itu kita harus sentiasa memperkemaskan diri kita dan bersedia dengan perkembangan pesat dunia pentaksiran.
4.0 Teori Keperluan Dan Motivasi Maslow
Menolong bererti memberi keadaan – keadaan kepada yang ditolong untuk memenuhi keperluan-keperluannya. Maslow ( 1962) mengatur
Struktur dan fungsi di dalam badan organisme mempunyai keperluan yang tertentu. Telah diakui bahawa manusia sebagai makhluk yang paling tinggi mempunyai keperluan yang kompleks. Berdasarkan Atan Long ( 1976 : 131 ), Maslow (1954) telah menjelaskan bahawa keperluan-keperluan manusia itu berperingkat-peringkat. Sesuatu peringkat keperluan yang lebih tinggi tidak mungkin diperolehi sebelum keperluan yang lebih rendah peringkatnya dipenuhi terlebih dahulu. Pada peringkat yang paling asas terdapat keperluan hayat ataupun keperluan fisiologi. Setelah keperluan ini dipenuhi baharulah keperluan keselamatan, diikuti keperluan kasih-sayang, seterusnya peringkat penghargaan kendiri atau penghormatan diri dan peringkat tertinggi atau puncak bagi keperluan manusia adalah peringkat keperluan bagi penyempurnaan kendiri.
Peringkat keperluan manusia mengikut teori Maslow ini dapat dilihat seperti rajah 1 di bawah.:
Rajah 1 ; Hieraki Teori Keperluan Maslow
Kasih sayang dan rasa milik Keselamatan
Harga diri
Fisiologi ( makan,minum dan tempat tinggal )
Model Maslow yang berbentuk peringkat itu merupakan perkembangan ‘ontological’ individu kerana setiap peringkat perkembangan perlu dilalui oleh individu misalnya pada masa bayi atau kanak-kanak, individu memerlukan perlindungan dan keselamatan, diikuti dengan kasih-sayang, dan penghormatan diri dan keperluan ini terus bertambah sehingga kepada peringkat penyempurnaan kendiri. Kajiannya mendapati semakin tinggi keperluan individu itu maka semakin kurang pergantungan kepada persekitaran social kerana dalam hal ini individu menggunakan pengalaman lampau untuk menentukan tingkah-lakunya. Pada masa ini motivasi bergantung kepada kemahuan dalaman, kemampuan, potensi, bakat, dan kreativiti impuls individu. Sementara itu persekitaran sosial merupakan faktor desakan dalam mencapai kemahuan ini. Maka dengan itulah juga Maslow menamakan keperluan peringkat terbawah sebagai keperluan kekurangan dan peringkat paling tinggi sebagai keperluan perkembangan.
5.0 Teori Emosi
Kestabilan emosi merupakan salah satu elemen terpenting yang disarankan menerusi Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu marhalah emosi dalam pembelajaran sangat penting untuk difahami. Gangguan emosi dalam pembelajaran akan mempengaruhi prestasi akademik seseorang murid. Oleh yang demikian pemahaman terhadap beberapa domain-domain emosi dari sudut pandangan beberapa tokoh dan pengkaji dalam bidang pendidikan dapat membantu mengenalpasti ketidakstabilan emosi di kalangan murid.
Emosi adalah signifikan di dalam tingkahlaku manusia. Interaksi `inter-personal’ berlaku apabila sesuatu pertemuan individu menggunakan bahasa lisan mungkin mempunyai pengaruh emosi yang sangat kuat. Penguasaan bahasa lisan oleh kanak-kanak berkait rapat dengan peniruan penguasaan bahasa lisan oleh kanak-kanak yang lebih dewasa sedikit. Bahasa ini datangnya dengan mengandungi (imbued) dengan segala tenaga dan kepelbagaian suara yang hidup, maknanya yang jelas, dan diperbesarkan `enhanced’ dengan intonasi, takanan, lantang dan `pace’. Suara yang terdengar mungkin berbunyi marah, penuh kasih sayang atau cemas (Donaldson, (1984). Jadi kualiti suara memainkan peranan yang signifikan dalam perspektif emosi kanak-kanak hingga ke dewasa.
Keran (1996) mengatakan manusia mencari satu keadan selesa atau `a hedinik frame of reference’ sebagai satu asas bagi semua tingkah lakunya. Faktor-faktor yang boleh mempengaruhi keadaan ini adalah seperti kelaparan, kesakitan, marah, seks, dan naluri ingiin tahu. Faktor-faktor ini boleh mempengaruhi emosi semasa membuat keputusan dan juga mempengaruhi keperluan untuk tindakan-tindakan yang lain. Berasaskan saranan Hirarki Keperluan Maslow (1954), emosi individu akan menerajui proses membuat keputusan. Jadi untuk mencari keselesaan, seseorang mungkin melepaskan keuntungan (trade-off) dalam jangkamasa yang lama untuk mencapai keuntungan jangka pendek semata-mata untuk memuaskan nafsu yang dominan dalam situasi-situasi yang tertentu.
Singer (1975) menyatakan emosi berkait rapat dengan fantasi yang mempunyai tiga pola khayalan yang berkait rapat dengan ciri-ciri tret tersebut. Pola-pola ini mempunyai aspek-aspek positif seperti kegembiraan; tidak berfokas pada suatu fantasi; aspek negatif seperti rasa bersalah. Dalam keadaan fantasi, kanak-kanak akan mempamerkan emosi menurut fantasi yang dikhayalkan pada ketika itu. Harre dan Lamb (1986:84) mendapati tingkahlaku berasaskan emosi boleh berubah dalam perjalanan hidup seseorang. Mereka mencadangkan 5 domain dalam perkembangan emosi;
· Emosi berkembang melalui situasi-situasi yang dirancangkan dapat mewujudkan matlamat-matlamat yang diingini dari segi persepsi, kognisi dan pembelajaran.
· Emosi juga berkembang melalui perubahan-perubahan semasa reaksi-reaksi individu semasa menyesuaikan diri pada sesuatu tugasan atau keadaan.
· Ekspresi emosi boleh berubah selaras dengan perkembangan umur.
· Keadaan emosi mengalami tranformasi semasa proses perkembangan
· Ekspresi-ekspresi menjadi `sosialised’ iaitu ekspresi dipengaruhi oleh budaya, atau persekitaran penduduk, misalnya individu harus menggunakan bahasa lisan dan bukannya ekspresi muka yang marah.
Ekspresi emosi berlaku dari peringkat bayi hingga ke dewasa. Bayi mampu menunjukkan emosi melalui banyak viarasi dalam suara, mimik muka dan postur badan. Reaksi ini bertujuan untuk berkomunikasi, mengekekalkan pertalian kasih sayang dengan penjaga (Trevathen, 1979).
Terdapat pelbagai jenis emosi yang dialami seseorang dari peringkat bayi hingga ke peringkat dewasa .Pluchik (1989) menyatakan perkara- perkara berikut mengenai emosi;
· Emosi adalah usaha dalam individu untuk melaksanakan kawalan pada kejadian-kejadian berkaitan dengan kehidupan.
· Emosi adalah rangkaian yang kompleks, peristiwa-peristiwa yang empunyai elemen-elemen yang penting seperti idea, imej atau peristiwa-peristiwa yang melibatkan individu yang lain
· Kompleksiti keadaan emosi bergantung kepada pengalaman individu dengan penggunaan bahasa.
· Struktur emosi berbeza mengikut intensiti (misalnya takut, panik); emosi ada persamaan (misalnya malu – segan); berbeza mengikut polariti (misalnya gembira –sedih).
· Emosi mempunyai konsep Derivatives – beberapa perkataan yang lain untuk menghuraikan emosi asal dalam konteks yang lain.
Kanak-kanak yang pada kali pertama melangkah ke alam persekolahan memikirkan bahawa sekolah mungkin satu pengalaman yang `susah’. Akan tetapi alam persekolah ini membantu;
i. Memperkembangkan `sense of hummor’ kerana ada banyak kawan
ii. Menjaga `harta’ dan berminat pada `collection – making’
iii. `Sense of concsience’ – dapat mengenalpasti yang baik dan yang jahat.
iv. Bersedia untuk memikul tanggungjawab `want to please and be good’.
5.1 Impikasi Ketidakseimbangan Emosi
Di antara implikasi emosi yang tinggi adalah seperti berikut;
· Tubuh tidak berfungsi dengan normal kerana ketidakseimbangan homeostatis
· Tingkahlaku yang kurang terurus
· Masalah pembacaan, kerja sekolah kurang memuaskan
· Affects perhubungan sosial dan social adjustments
· Personaliti dan konsep kendiri yang semakin bertambah buruk.
5.2 Emosi – Berdasarkan Perspektif Islam
Meskipun banyak kajian yang dirujuk oleh pelajar dan sarjana dalam bidang emosi dan personaliti berpunca dari kajian-kajian oleh ahli-ahli psikologi barat, terdapat beberapa hadis, kitab dan al-Quran yang menyebutkan berkaitan emosi. Walaupun tidak dinyatakan secara khusus, emosi disebut-sebut beberapa kali dan diterima sebagai tingkahlaku manusia yang sememangnya ciri semulajadi manusia. Mohd Daud Hamzah (1990) mentakrifkan emosi sebagai proses integratif yang abstrak daripada gabungan proses Qalb, Nafs (Jiwa), Hawa dan Bangkitan yang berlaku serentak. Menurut Imam al-Ghazali (1982) emosi merupakan panaksiran tenaga berapi dari dalaman yang perlu dijana dengan sebaik mungkin. Segala bentuk dan variasi dalam emosi berpunca daripada perubahan dalam Nafs (jiwa) . Namun begitu tenaga dalaman seseorang individu juga berpunca daripada roh yang menyediakan nyawa kepada jasad untuk terus hidup dan berfungsi.
Oleh yang demikian roh dan nafs sangat mempengaruhi variasi emosi yang dihasilkan. Sifat dan keadaan antara roh serta nafs mengakibatkan perubahan dalam emosi seseorang. Keadaan ini menjadikan emosi seseorang berkeadaan stabil atau tidak stabil.
Hakikat kejadian manusia bermula apabila Allah meniupkan roh ke dalam jasad manusia dan kemudiannya manusia diberikan nafs yang membolehkan manusia hidup mempunyai hawa nafsu
"Mereka itulah orang-orang yang dituliskan oleh Allah keimanan di dalam hati mereka, dan diperlengkapkan mereka dengan roh daripada-Nya"
(Al-Mujadalah: 22)
Di dalam al-Quran juga banyak diperkatakan dengan kejadian jiwa manusia.
"Sesungguhnya jiwa itu suka menyuruh berbuat keburukan"
(Yusuf: 53)
Rumusannya di dalam Islam, kesetabilan jiwa dan roh menjadi tuntutan utama di dalam kehidupan kerana ia menjadi titik tolak kepada pembentukan emosi yang stabil dan tingkah laku yang stabil. Gangguan yang berlaku didalam jiwa dan roh seseorang akan menjadikan emosi individu tersebut terganggu. Gangguan inilah yang menyebabkan seseorang individu berkelakuan baik atau jahat. Walaupun diberikan akal untuk melakukan aktiviti pemikira, namum pengaruh jiwa dan roh ini sangat kuat sekali.
6.0 Emosional Qualities ( EQ )
Dalam mendidik murid-murid perkembangan EQ (emosional qualities) sama pentingnya dengan perkembangan IQ. Kalau IQ merujuk kepada kepintaran murid, EQ pula merujuk kepada kebolehan murid menangani konflik emosi mereka. Tahap IQ seseorang boleh diukur melalui ujian-ujian tertentu tetapi EQ sebaliknya tidak mampu diukur. Sehingga sekarang takrif yang tepat tentang EQ masih dicari. Salovey dan Mayer mendefininisikan EQ sebagai, suatu subset dari kecerdasan sosial yang merujuk kepada kebolehan seseorang meneliti emosi atau perasaan dirinya atau orang lain, membezakan emosi ini dan menggunakannya sebagai panduan membentuk suatu cara fikir dan tindakan.
Dalam meniti kecemerlangan hidup, ramai pakar percaya bahawa 80% bergantung kepada kekuatan EQ dan hanya 20% sahaja berdasarkan ketinggian IQ. Guru-guru pada awalnya mungkin diambil diterima sebagai guru kerana kebolehan IQ mereka tetapi hanya yang mempunyai EQ yang tinggi sahaja kelak yang cepat dinaikkan pangkat. EQ lebih merujuk kepada ciri-ciri diri seperti:
- Empati.
- Meluahkan dan memahami perasaan.
- Mengawal perasaan marah.
- Berdikari.
- Kebolehan menyesuaikan diri dengan persekitaran.
- Kebolehan menyelesaikan masalah pergaulan.
- Persistensi iaitu sikap tidak mudah mengaku kalah.
- Mudah mesra dan ramah.
- Baik budi.
- Pandai menghormati diri sendiri dan orang lain dan sebagainya.
Secara ringkasnya EQ lebih condong kepada sikap, tingkahlaku dan peribadi seseorang individu.
Kajian menunjukkan bahawa terdapat tiga pendekatan utama yang sering diambil oleh guru dalam mendidik murid-murid iaitu sama ada secara keras, lembut atau sederhana. Rasulullah s.a.w sendiri menyarankan agar kita mengambil jalan tengah atau bersederhana dalam mendidik anak-anak. Apa yang rasulullah s.a.w sarankan ini kini telah dibuktikan benar oleh masyarakat barat yang membuat kajian tentang pendidikan EQ ini.
Kita perlu faham, guru bersifat keibubapaan yang baik memerlukan lebih daripada pendekatan intelek. Kita memerlukan pendekatan emosi. Sebagai manusia, murid dan anak-anak (malah kita sendiri) membuat satu-satu keputusan itu berdasarkan alasan-alasan emosi. Hanya sedikit sahaja boleh disandarkan atas alasan logik. Misalnya, kita membeli kereta kerana memerlukan kenderaan untuk bergerak sama ada dihari panas atau hujan. Kalau begitu kenapa tidak beli kereta yang ala kadar sahaja. Kenapa mereka yang mampu akan membeli kereta yang lebih mahal, lebih besar dan berprestij? Ini disebabkan kita mempunyai alasan emosi yang jauh lebih besar dari alasan lojik. Sebagai manusia, murid-murid juga seperti kita. Mereka akan mudah membuat keputusan atas alasan emosi. Sebab itu ada pepatah yang mengatakan "cinta itu buta". Sebab apabila seseorang dibawah pengaruh emosi maka daya inteleknya akan kurang dimanfaatkan. Atas sandaran inilah maka guru perlu belajar bagaimana untuk menggunakan pengaruh emosi ini bagi membentuk, membimbing dan mendidik murid-murid.
Guru yang menggunakan pendekatan emosi biasanya melibatkan
- peka terhadap emosi murid;
- menyedari yang perubahan emosi murid sebagai peluang untuk merapatkan hubungan dan mendidik;
- mendengar secara empati, memahami dan mengesahkan apa yang sedang anak alami;
- membantu murid mengenali dan memahami emosi mereka sendiri;
- nyatakan dengan jelas batas atau tahap sesuatu emosi sambil mencari jalan menyelesaikan masalah yang timbul.
6.1 Guru Sebagai Ibubapa Di Sekolah
Murid yang tinggi EQ akan menghargai setiap perasaan negatif yang terbit dari diri. Perlu diingat, murid-murid yang membesar atas bimbingan sebegini bukan bermakna mereka tidak punya perasaan lagi. Murid-murid masih tetap akan rasa marah, sedih, malu, takut dan sebagainya tetapi mereka akan punya kemahiran untuk menenangkan diri sendiri dan bangkit kembali setelah sesuatu kegagalan atau desakan. Malah mereka akan lebih baik lagi selepas itu. Kajian menunjukkan bahawa anak-anak yang dibesarkan melalui pendekatan bijak emosi ini lebih mampu bertahan dan meneruskan kehidupan meskipun berlaku penceraian ibu bapa. Mereka lebih realistik dan mampu menerima kenyataan. Sekiranya anak-anak diiringi pula dengan ajaran agama yang mantap maka pastinya mereka bakal menjadi orang yang cemerlang satu ketika nanti.
Guru juga perlu faham, pendekatan bijak emosi bukanlah bermakna murid tidak perlu didisiplinkan lagi. Sebaliknya apabila guru dan murid atau ibu bapa dan anak saling percaya mempercayai maka bermakna telah terbentuk satu pengaruh yang kuat. Ketika ini anda boleh gunakan pendekatan keras, apabila kekerasan diperlukan. Apabila anak anda melanggar peraturan, bersikap kasar dan sebagainya anda perlu menegurnya. Anda letakkan batas-batas tertentu tanpa ragu-ragu. Anda tidak bimbang untuk menyatakan akan kekecewaan aanda dan anda tahu yang anak anda boleh lakukan lebih baik. Disebabkan anda sentiasa gunakan pendekatan bijak emosi maka sekali anda bertegas, ketegasan dan kata-kata anda akan memberi kesan. Anak-anak akan memahami kenapa anda berkelakuan demikian malah lebih menghormati anda. Begitu juga anda boleh menjadi cukup penyayang apabila pendekatan memujuk secara lembut pula diperlukan. Dengan pendekatan bijak emosi ini anak-anak
Pengalamanlah yang akan mengajar kita pendekatan mana yang lebih sesuai dalam keadaan-keadaan tertentu. Beberapa perkara dibawah boleh dijadikan panduan:
- Sekiranya anak anda dibesarkan dalam keadaan anda selalu marah atau membebel, maka marah anda dan bebelan anda sudah hilang makna kepada mereka.
- Apabila anak anda mengaku secara jujur akan kesalahan dan kesilapan mereka, maka anda tidak sepatutnya marah. Sebaliknya memahami mereka. Sekiranya perbuatan mereka itu salah, maka perbetulkan dengan cara yang baik dan penuh kasih sayang.
- Sekiranya anak anda melakukan kesalahan buat kali pertama, maka anda tidak boleh marah. Sebaliknya gunakan pendekatan bijak emosi. Tetapi kalau kesalahan yang sama berulang-ulang, ketika itu anda perlu bertegas dan gunakan kekerasan (bukan deraan).
- Sekiranya kesalahan yang dilakukan berkaitan dengan pembentukan akhlak dan peribadinya, seperti mencuri, menipu, dan sebagainya maka gunakan ketegasan untuk mendisiplinkan anak.
- Jangan biarkan sampai anak anda boleh menjangka apa reaksi atau tindakbalas anda terhadap kesalahan atau masalah mereka. Mereka tidak pasti sama ada anda akan marah, diamkan atau menegur dengan baik.
- Jangan marah setiap kali anak anda menceritakan masalah mereka, sebab sekiranya anda tidak melayan mereka dengan baik mereka akan menyangka yang anda bencikan masalah. Ini membuatkan mereka tidak mahu berbincang dengan anda dilain masa.
- Puji secara ikhlas dan suburkan setiap perkara baik yang ditunjukkan oleh anak anda.
Kaunseling juga merupakan proses menolong, murid dibimbing membuat keputusan sendiri. Dengan kata lain, guru bukannya semata-mata memberi nasihat atau maklumat malah lebih menjurus kepada proses introspeksi diri murid. Jadi kaunseling membantu seseorang murid:
· Memahami dirinya dan situasinya
· Mengenalpasti keperluannya
· Menerima realiti hidupnya
· Membuat rancangan yang realistik untuk mengendalikan hidupnya
· Bertanggungjawab ke atas dirinya
· Menjadi individu yang berfungsi dengan sepenuhnya
7.0 Sistem Pentaksiran Murid Musleh ( SPMM )
Sistem Pentaksiran Murid Musleh ialah pendekatan pentaksiran yang mengambil kira manusia secara keseluruhan. SPMM mengintegrasikan penilaian kognitif dengan pentaksiran aspek-aspek penghayatan Islam. Murid ditaksirkan mengenai aspek ilmu , iman , akhlak , kemampuan dan ibadat khusus yang dihayati dalam kehidupan seharian. Pentaksiran dibuat dengan menggunakan pelbagai instrumen yang merangkumi senarai semak, amali dan perbincangan. Proses menghasilkan perlbagai instrumen itu melibatkan murid, guru dan pentadbir. Keberkesanan pentaksiaran holistik seperti ini sudah tentu memerlukan pemantauaan dan pembaikan dari masa ke semasa dan memerlukan komitmen yang tinggi serta keikhlasan guru , ibubapa dan murid.
Pendidikan yang kita perlu fahami adalah proses membentuk hati, jiwa , akal dan peribadi ( El Muhammadi, 1987 ). Matlamatnya adalah untuk mengihsankan qalbu insan, memperkembangkan mindanya. Memuliakan akhlaknya dan tahan lasak jasadnya. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memantapkan kemahirannya. Pendedahan dan segala potensi yang sedia ada mengikut minat sehingga menjadikannya insan yang paling bermanfaat kepada agama , negara dan ummat sejagat.
Hari ini pentaksiran afektif kurang mendapat sambutan dari kalangan pendidik. Alasan yang diberi ialah subjektif. Oleh itu terlalu sukar untuk membentuk instrumen yang mampu memberi skor yang sah dan boleh dipercayai. Penekanan terhadap prestasi dan pencapaian yang hanya melihat keupayaan murid dari aspek kognitif sahaja sangat membimbangkan kerana tanpa pentaksiran afektif , kedudukan pembentukan dimensi kemanusian insan secara menyeluruh tidak dapat dikenalpasi. Contohnya; Bagaimana tahap pencapaian pelajar dalam ibadat khusus, adab dan akhlak? Apakah petunujk yang ada untuk mengambarkan prestasi dan potensi mereka ? Adakah petunjuk-petujuk tersebut pula jelas sehingga memudahkan usaha untuk membangunkan lagi dimensi kemanusiaaanya. Ini beberapa persoalan yang tidak di tangani oleh sistem penilaian atau pentaksitaran yang sedia ada.
Pentaksiran holistik merujuk kepada al quran dimana terdapat banyak peristiwa yang memaparkan pentaksiran allah s.w.t terhadap manusia. Diantaranya :
i) Dalam surah al Mumtanah ayat 10. : Allah s.w.t menyuruh orang-orang beriman mentaksir keimanan perempuan-perempuan yang datang berhijrah. Dan setelah pengujian tersebut jika didapati bahawa mereka benar-benar beriman maka perempuan -perempuan tersebut tidak dibolehkan untuk dikembalikan kepada suami-suami mereka
( Prof. Dr. Mahmud Yunus , 1973)
ii) Dalam surah al Hujurat ayat 4 – 5 , Allah s.w.t telah mentaksir sekumpulan Arab agar tidak memekik –mekik memanggil Rasulullah s.a.w. diluar bilik baginda . Ternyata mereka tidak lulus pentaksiran tersebut dan Allah menyifatkan mereka tiada memikirkan dan tidak sabar menugggu ( Prof.Dr.H.Mahmoud Yunus , 1973 )
iii) Melalui pembacaan , terdapat juga dalam kisah salafus saleh ; menceritakan bagaimana beliau telah menguji muridnya tentang konsep ihsan. Beliau telah menyuruh semua muridnya menyembelih ayam di tempat tiada siapa yang melihat. Maka semua muridnya kembali dengan ayam sembelihan kecuali seorang murid. Apabila ditanya kenapa beliau tidak menyembelih. Maka murid tersebut menyatakan tidak terdapat mana-mana tempat yang tidak dilihat oleh sesiapa. Allah s.w.t Maha Melihat dan berada dimana-mana sahaja.
Peringkat Program pembangunan murid spmm
Peringkat 1 : Kesedaran
Murid sedar dan mengetahui konstruk yang akan ditaksir
Peringkat 2 : ilmu dan kefahaman
murid mempunyai ilmu dan kefahaman tentang konstruk
Peringkat 3 : latihan dan amalan
Murid berusaha untuk beramal dan menghayati konstruk
Peringkat 4 : penghayatan
Murid menghayati konstruk sebagai amalan harian tanpa pengawasan
Pengiktifaran
8. Kesimpulan Dan Penutup
Tugas guru semakin mencabar semasa menjalankan tugasnya sebagai
pendidik. Dalam pengajaran dan pembelajaran, motivasi dianggap sebagai satu unsur yang membolehkan murid melibatkan diri secara aktif. Di samping itu ianya menjadikan proses pembelajaran berlaku dalam situasi yang bermakna,berfaedah dan menyeronokan.
Guru hendaklah sentiasa memberi peneguhan serta-merta kepada muridnya apabila mereka memperlihatkan tingkahlaku positif. Peneguhan ini boleh diberi dalam pelbagai bentuk seperti pujian, senyuman atau hadiah. Secara tidak langsung dapat mempertingkatkan lagi aras motivasi serta meningkatkan prestasi murid-muridnya. Guru juga harus mengetahui langkah-langkah yang praktikal sejajar dengan diri seseorang pelajar demi hendak memenuhi kehendak pelajar. Dengan itu kepuasan belajar dalam keperluan motivasi boleh dicapai seterusnya menanamkan minat pelajar mengembangkan potensinya. Untuk mempertingkatkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, guru seharusnya peka dan bijak menentukan apa keperluan seseorang pelajar dari aspek keseimbangan JERI. Dengan menyedari keperluan seseorang pelajar guru dapat mengatur strategi serta alternatif yang lebih praktikal demi kecemerlangan yang semaksimumnya. Seterusnya pentaksiran dapat dilaksanakan secara holistik setelah komitmen asas dapat disempurnakan.
BIBLIOGRAFI
1. Atan Long (1976). Psikologi Pendidikan.
2. Drs. Wasty Soemato (1987), Psikologi Pendidikan,
Aksara.
3. Lester D. Crow, Alice Crow (1980). Psikologi Pendidikan Untuk
Perguruan.
4. Lingren (1959), Psychology of Personal and Social Adjustment, Second
Edition,
5. Mok Soon Sang (2000). Nota dan Latihan Ilmu Pendidikan : Pendidikan
di Malaysia dan Psikologi Pendidikan 1.
Budiman Sdn. Bhd.
6. Moustakas (1953), Children in Play Therapy, New York, McGraw-Hill
Book Company.
7. Rohaty Mohd. Majzud (1992), Psikologi Perkembangan,
8. Saedah, Zainun, Tunku Mohani (1996). Motivasi Dalam Pendidikan.
9. Sufean Hussain (1993). Pendidikan di Malaysia : Sejarah, Sistem dan
Falsafah.
10.
11. Megat Mohamad Amin Megat Mohamed Nor ( 2003 ) Sistem Pentaksiran Pelajar Musleh ( SPPM) Kertas Kerja Dibentang Di Seminar Pendidikan Kebangsaan 5-8 Mei 2003 . Lembaga Peperiksaan
[1] Mohd.Ismail bin Mohamood adalah Penolong Kanan Pentadbiran & Kurikulum SMK Segambut Jaya Kuala Lumpur .Beliau seorang Kaunselor dan Ahli Lembaga Akademik MUSLEH . Kertas kerja dibentang di Seminar SPMM anjuran Lembaga Peperiksaan
4 comments:
kenapa kosong je
tulislah apa yang patut sebagai suntikan motivasi paling kurang
orang yang berjaya ialah orang yang sentiasa berfikiran positif dan berwaspada serta mempunyai wawasan masa depan yang spesifik
asslamualaikum cikgu...sy sangat berminat dengan penulisan cikgu tentang SPPM.ada info yang lebih lagi x?
Post a Comment