lul Albab: Fahaman sempit calar imej, maruah Islam
Isu burqa, terlalu radikal dalam urusan jihad alasan Barat untuk perangi Muslim
JIKA kita ketengahkan persoalan menggunakan burqa atau niqab yang menutupi wajah wanita kecuali mata dalam masyarakat yang berbeza, maka jawapan ulama juga akan berbeza sama ada menyokong, menolak atau membiarkannya kerana ia termasuk dalam masalah furu' yang sememangnya terbuka kepada perbezaan pendapat.
JIKA kita ketengahkan persoalan menggunakan burqa atau niqab yang menutupi wajah wanita kecuali mata dalam masyarakat yang berbeza, maka jawapan ulama juga akan berbeza sama ada menyokong, menolak atau membiarkannya kerana ia termasuk dalam masalah furu' yang sememangnya terbuka kepada perbezaan pendapat.
Begitu juga jika diketengahkan persoalan pengertian hikmat kebijaksanaan dalam berdakwah dengan mengambil kira ayat al-Quran yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau seru itu) dengan cara yang lebih baik.” (Surah al-Nahl: 125).
Penafsiran ayat itu akan berbeza jika dikaitkan dengan persoalan sama ada burqa atau niqab sebagai salah satu cara dakwah penyebaran Islam. Ada yang menyokong, menolak atau membiarkannya kerana ia termasuk dalam masalah furu' yang sememangnya terbuka kepada perbezaan pendapat.
Bagaimanapun, jika kita ketengahkan persoalan apakah Islam ada pada burqa atau niqab, maka semua jawapan ulama akan mengatakan: tidak. Begitu juga jika kita ketengahkan persoalan apakah burqa atau niqab itu Islam, maka semua jawapannya juga akan mengatakan: tidak.
Malangnya, hari ini ada segelintir umat manusia yang menjawab dengan affirmative untuk persoalan nombor tiga di atas sehingga ada yang mengatakan Islam ada pada burqa dan burqa itu adalah Islam.
Jumaat lalu, Reuter melaporkan mengenai cadangan seorang Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders, supaya mengharamkan burqa di negeri Kincir Air itu. Dia mencadangkan dalam draf undang-undangnya bahawa hukuman ke atas memakai burqa tidak melebihi 12 hari penjara atau denda 3,350 euro. Cadangan Ahli Parlimen Belanda ini disokong oleh partinya, Freedom Party. Antara alasan pengharaman burqa di Belanda kerana ia bertentangan dengan perlembagaan Belanda yang mengamalkan persamaan gender dan juga akan menjejaskan integriti bangsa Belanda.
Dilaporkan bahawa masyarakat Islam di sana menganggarkan ada 50 wanita yang memakai burqa.
Masyarakat Belanda khasnya dan Barat amnya sudah menganggap imej Islam ada pada burqa dan menurut mereka burqa sebagai lambang kemunduran dan kerendahan martabat wanita. Begitu juga ada segelintir umat Islam sudah menganggap imej Islam ada pada burqa dan menurut mereka burqa adalah lambang ketakwaan dan ketinggian martabat wanita. Padahal Islam bebas daripada kedua-dua pandangan ini.
Imej Islam yang sudah dibangun oleh Rasulullah SAW dan sahabatnya dalam bentuk Islam yang penuh kesederhanaan, keadilan dan sesuai untuk setiap masa, tempat dan masyarakat akhirnya diruntuhkan oleh perbuatan segelintir umat yang tidak memahami dengan sebenar inti ajaran Islam yang suci.
Khamis lalu, AFP melaporkan mengenai penahanan seorang wanita Muslim di sebuah mahkamah di London dengan kesalahan mendengarkan muzik di sebalik tudungnya ketika dia sedang menjadi juri. Di sini imej Islam dalam bentuk hijab pun diruntuhkan oleh seorang umat yang tidak peka dan bertanggungjawab terhadap keislamannya.
Dalam tragedi Masjid Merah di Pakistan minggu lalu, media melaporkan seorang pemimpin agama di dalam masjid memakai burqa untuk keluar dari masjid yang dikepung oleh tentera Pakistan. Malangnya dia ditangkap oleh pasukan keselamatan wanita yang mengesyaki gelagat pemakai burqa berkenaan. Di sini imej Islam dalam bentuk burqa pun diruntuhkan oleh seorang pemimpin agama yang ingin menyelamatkan diri daripada kepungan di mana ia menunjukkan bagaimana pemimpin itu menghalalkan segala cara untuk menyelamatkan diri dan meninggalkan pengikutnya.
Dalam mempertahankan imej Islam yang melarang persentuhan kulit lelaki dan perempuan bukan mahram, Media melaporkan mengenai perlawanan bola sepak antara kumpulan ulama dan paderi di Oslo. Perlawanan bola sepak yang diadakan untuk membina persahabatan antara ulama Islam dan paderi di Norway dibatalkan selepas berlaku pertengkaran berhubung pembabitan pemain wanita. Imam enggan bermain menentang wanita kerana ia memerlukan sentuhan fizikal yang jelas bertentangan dengan pegangan mereka tetapi apabila gereja memutuskan untuk menggugurkan pemain wanita, ketua pasukan paderi meletak jawatan sebagai membantah keputusan itu.
Permainan itu pada awalnya sekadar untuk suka-suka pada penghujung seminar selama sehari di Oslo. Imam dan paderi mengadakan perbincangan cara menggalakkan dialog antara agama dalam majlis Shoulder to Shoulder itu.
Imej Islam boleh dibangun, dipelihara dan diruntuhkan oleh sesiapa saja sama ada oleh umat Islam atau bukan Islam. Imej Islam dalam ajaran jihad adalah suci dan penuh keadilan, tetapi ia diruntuhkan oleh beberapa pihak sama ada Muslim mahupun bukan Islam sehingga digambarkan sangat menakutkan. Bahkan di Amerika Syarikat, tindak balas ke atasnya sangat berlebihan.
Seorang jeneral kanan tentera Amerika Syarikat meminta rakyat negaranya bersedia menghadapi perang selama antara 50 hingga 100 tahun dengan golongan radikal Islam.
“Usaha itu membabitkan aspek ketenteraan dan ideologi,” kata Brigadier Jeneral Mark O Schissler yang juga Timbalan Pengarah bagi Perang Menentang Keganasan di Jabatan Pertahanan Amerika (Pentagon), ketika diwawancara akhbar.
“Kita menghadapi perang generasi baru. Anda boleh cuba melawan musuh di tempat mereka atau dari lokasi serangan atau menghalang mereka dan mempertahankan negara sendiri. Bagaimanapun, penggunaan tentera tidak cukup. Kita memutuskan rantainya iaitu ideologi. Kita perlu tunjukkan kepada golongan ekstrem kesilapan pemikiran mereka,” kata Schissler sebagai seorang anggota Pejabat Rancangan Strategik di Pentagon.
“Saya tidak peduli soal politik. Saya mahu orang ramai memahami apa yang difikirkan musuh kita, apakah strategi untuk mengalahkan mereka dan penduduk Amerika perlu faham ini akan mengambil masa lama. Musuh merancang perang selama 50 hingga 100 tahun,” katanya.
Schissler juga menyifatkan musuh akan meneruskan perjuangan yang disokong dengan konsep jihad. Imej Islam dalam bentuk masyarakat Islam dan masyarakat jahiliyyah juga pernah ditulis oleh Sayyid Qutb dalam muqaddimah tafsir Fi Zilal al-Quran. Katanya, Islam mengenal dan mengiktiraf hanya dua bentuk masyarakat, iaitu masyarakat Islam dan masyarakat jahiliah.
Masyarakat Islam ialah masyarakat yang di dalamnya dilaksanakan Islam: Akidah, ibadah, undang-undang, moral dan cara hidup manakala masyarakat jahiliah itu ialah masyarakat yang Islam tidak dilaksanakan di dalamnya, masyarakat yang tidak dipandu oleh Islam, baik dari segi akidah, konsep, nilai, sistem dan undang-undang, moral dan tata susila.
Masyarakat Islam bukanlah sebuah perkumpulan atau organisasi manusia yang menamakan diri mereka Muslim sedangkan syariat Islam tidak menjadi undang-undang masyarakat itu, walaupun mereka patuh menunaikan solat, puasa dan haji. Bukankah juga masyarakat Islam itu yang mereka bentuk untuk diri mereka, lain daripada yang diatur dan ditetapkan oleh Allah SWT dan diajar oleh Rasulullah SAW, dengan memakai nama ‘Islam liberal’ atau ‘Islam progresif’.
Masyarakat jahiliah pula lahir dalam beraneka bentuk dan rupa, tetapi semuanya jahiliah belaka: Ada yang berbentuk masyarakat yang ingkar sama sekali akan wujudnya zat Allah SWT dan membuat tafsiran secara benda terhadap sejarah, melaksanakan sistem yang disebutkan sebagai ‘sosialisme saintifik’ sebagai panduan hidupnya. Ada pula yang berbentuk sebuah masyarakat yang tidak ingkar akan wujudnya zat Allah SWT, tetapi mengehadkan kuasa Allah SWT di dalam urusan yang bersangkutan dengan akhirat saja dan enggan mengiktiraf kuasa Allah SWT dalam urusan hidup di dunia. Masyarakat ini tidak mahu menjadikan syariat dan undang-undang Allah SWT sebagai panduan hidup mereka, dan tidak sudi mengambil nilai Islam sebagai pedoman dalam mengukur sesuatu.
Anggota masyarakat seperti ini dibolehkan beribadat di biara, gereja dan masjid, tetapi mereka dilarang menuntut pelaksanaan syariat Allah SWT dalam urusan hidup sehari-hari, dengan demikian maka masyarakat itu dengan sendirinya menolak dan melemahkan kekuasaan dan ketuhanan Allah SWT dan seluruh urusan hidup di bumi ini, sedangkan Allah SWT sendiri menyatakan dengan tegasnya bahawa kekuasaan dan ketuhanan-Nya meliputi seluruh langit dan bumi dalam ayat bermaksud: “Dan Dialah Tuhan (yang disembah) di langit dan Tuhan (yang disembah) di bumi dan Dialah Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui.” (Surah al-Zukhruf: 84)
Oleh itu masyarakat seperti itu tidak mengikut agama Allah SWT yang sebenar seperti yang ditegaskan-Nya di dalam firman yang bermaksud: “Tidak ada hukuman itu melainkan bagi (kepunyaan) Allah. Dan perintah kamu jangan sembah melainkan Dia (saja), (kerana) yang demikian itu adalah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah Yusuf: 40)
Dengan sebab yang di atas itulah masyarakat itu menjadi sebuah masyarakat jahiliah, walaupun ia mengiktiraf wujudnya Allah SWT dan walaupun ia memberi kebebasan kepada manusia untuk beribadat di biara, gereja dan masjid.
Masyarakat Islam dengan bentuk seperti yang disebut di atas itulah sebenarnya masyarakat yang bertamadun, manakala masyarakat ‘jahiliah’ dalam segala bentuknya adalah masyarakat songsang.
Islam yang dimisalkan al-Quran sebagai air (Surah al-Ra'du: 17) di mana ia boleh memberikan kehidupan di mana saja dan dalam bentuk apa pun jua, sepatutnya umat Islam juga mempertahankan imej ini di mana saja dan dalam bentuk apa pun jua yang sesuai dengan tempat, masa dan masyarakat. Wallahu a'lam
No comments:
Post a Comment